Saturday, October 27, 2012

STRESS !!



Alhamdulillah...mak mertuaku sangat baik. Ku benar-benar bersyukur dapat mak mertua sebaik mak. Bila aku balik kampung, walaupun mak tak berapa sihat, mak layan aku dengan baik sangat. sampai makan minum pun mak siapkan. Dari satu sudut, aku memang bersyukur dan gembira.

Tapi, dari satu sudut yang lain - sudut yang mungkin tidak terlihat oleh sesiapa pun termasuk suami aku sendiri - aku rasa tertekan. Semua orang yang aku kenali tahu aku bekerjaya. Tapi tak ramai yang tahu tenggungjawab yang terpaksa aku pikul di syarikat. Kalau yang tahu pun, mungkin tak faham. Semua orang tahu aku kerja di kilang sembelihan ayam. Tapi tak ada siapa yang tahu apa yang aku hadapi kat kilang ni. TAK SIAPA tahu. Mungkin mereka membayangkan aku kerja tanpa perlu menggunakan otak, tanpa perlu banyak berfikir. Sengal jugak la orang-orang yang fikir macam tu sebab kalau betul aku tak perlu gunakan otak ni, kenapa pula syarikat ni sanggup bayar aku yang ada degree ni? Baik dia ambil orang yang ada SPM je ke, murah sikit kan? Singkat betul otak. Stress!

Tapi, bukan stress ni yang aku nak cerita. Stress yang ku rasa - yang sangat hebat - adalah bila tak ada orang yang fahami aku. Stress kat pejabat tak habis lagi, sambung stress kat rumah. Jujur, kalau kat rumah sendiri - rumah aku dan suami - aku langsung tak rasa stress. Melihat wajah suami dah cukup buat aku bahagia. Stress yang maha hebat ku rasa adalah apabila setiap hujung minggu suami mahu kami pulang ke kampung, walaupun aku berkerja! 

Seperti yang aku katakan awal-awal tadi, memang mak mertua ku sangat baik. Tapi aku masih rasakan tekanan. Aku ada rasa tanggungjawab pada mertua. Rasa tanggungjawab ni lah yang membuatkan ku STRESS! Aku penat dengan kerja, terpaksa balik kampung yang perjalanannya hampir 1 jam. Memang tak lama, tapi faham tak yang aku penat? Dah sampai kampung tu, memang aku boleh untuk terus tidur. Dan itulah yang aku selalu buat. Tapi, ada tak orang tahu yang aku tidur dengan rasa stress yang amat sangat? Aku rasa malu untuk biarkan mertuaku sindirian di dapur, tapi aku tak mampu nak tolong sebab mental ku penat. PENAT! Setakat ni, aku cuma nampak ada tiga kemungkinan yang akan berlaku setiap kali aku pulang ke kampung pada hujung minggu:

1. Aku tak tidur lalu menolong mak mertuaku di dapur dalam keadaan letih dan stress. Sampai ke malam, aku perlu bersengkang mata menghabiskan masa bersama keluarga suami sedangkan dalam kepala memikirkan esok perlu bangun awal pagi untuk bekerja. Kesudahannya, malam itu aku tidur lewat dengan mental yang tersiksa dan stress.

2. Aku tidur sebaik saja pulang dari tempat kerja, membiarkan mertua yang keseorangan di dapur - aku tidur dengan rasa stress sebab rasa aku ni menantu yang tak berguna. Malam pula, aku bersengkang mata menghabiskan masa bersama keluarga suami sedangkan dalam kepala masih memikirkan hari esok aku perlu bangun awal untuk bekerja. Dan aku tidur malam tu dengan  otak yang penat dan sekali lagi, aku stress.

3. Petang tu aku terus tidur sebaik sahaja pulang dari tempat kerja, tapi masih lagi tidur dalam keadaan stress sebab membiarkan mertua keseorangan di dapur. Malam pun aku tidur awal, tak ambil port langsung tentang borak sorak keluarga suami. Tapi aku masih lagi tidur dalam keadaan yang stress bila memikirkan aku bukan menantu dan ipar yang baik bila tak boleh nak beramah mesra dengan mereka semua.

Jadi, ni lah yang aku nak cerita. Di sebalik  layanan first class dari keluarga suami, aku masih lagi rasa stress sebab aku rasa gagal menjadi menantu dan ipar yang baik. 

Aku cuma nak tanya, tak boleh ke suamiku balik sorang-sorang ke kampung kalau aku perlu bekerja pada hujung minggu? Salahkah aku bila membuat permintaan macam tu? Aku cuma tak nak aku rasa stress, tapi nampaknya dia tak faham. Lalu apa yang aku dapat bila aku menyuarakan cadangan supaya dia balik kampung sendiri? .... (diam). Ya, suamiku diam SEPANJANG HARI sampailah aku bersetuju nak ikut dia balik. Tapi dia tak tahu, aku ikut dia balik dalam keadaan STRESS! 


I love him and all of my family-in-law,
Yes, I do.
But I'm...STRESS !!

No comments:

Post a Comment